Antara barang kontraban yang dirampas.

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan kontraban dengan rampasan keseluruhan bernilai RM13.218 juta

Serbuan Ops Kontraban Mega 1.0 dilakukan serentak di 11 negeri dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 26 dan 27 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah JKDNKA (Gerakan/Operasi) Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata, dalam serbuan itu pihaknya telah memeriksa sebanyak 272 premis melibatkan 31 daerah di 11 negeri terlibat.

“Hasil pemeriksaan, 174 premis dikesan melakukan kesalahan dengan 36 premis di Sabah, (33) Terengganu, (29) Sarawak, (23) Kedah, (14) Melaka, (13) Selangor, (13) Johor, (7) Pulau Pinang, (2) Kelantan dan (1) Perak.

“Daripada jumlah keseluruhan rampasan RM13.218 juta, sebanyak 4.16 juta batang rokok membabitkan 257 pelbagai jenama dirampas dengan nilai RM7.8 juta.

“Turut dirampas 103,407 liter pelbagai jenis minuman keras berjumlah RM4.57 juta manakala rampasan lain seperti minyak masak, kenderaan, mercun serta telefon bernilai RM841,329.50.

“Kita juga mengeluarkan kompaun ke atas semua premis terlibat sebanyak RM13,500,” katanya dalam sidang media Ops Kotraban Mega 1.0 di Bukit Aman hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh dalam sidang media di Menara 1 Bukit Aman.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Siti Mang bersama Timbalan Pengarah JKDNKA (PGA), Datuk Suzrin Mohd Rodhi.

Tambah Fisol, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan 195 individu berusia antara 17 tahun hingga 72 tahun membabitkan 161 lelaki dan 33 wanita.

“Daripada jumlah tangkapan, 127 individu adalah warga tempatan dengan bakinya 68 orang warga asing melibatkan 30 orang warga Indonesia, (23) Pakistan, (7) Bangladesh, (4) Filipina, (3) India, (1) Sri Lanka.

“178 individu telah ditahan reman bermula 26 Ogos hingga 1 September mengikut pelbagai kesalahan dan 17 lagi individu diberi jaminan polis atas faktor umur,” ujarnya.

Semakan lanjut mendapati kesemua rokok yang diseludup itu akan disorok di dalam premis sebelum dijual kepada pelanggan tetap.

“Kita percayai individu yang ditahan kebanyakan berperanan sebagai penjaga premis selain kegiatan terbabit melibatkan banyak sindiket dan pelbagai modus operandi.

“Rokok (seludup) itu dijual dengan harga jauh lebih murah sekitar RM4 hingga RM10, manakala minuman keras tidak bercukai disyaki dijual di pusat hiburan dan dicampur dengan bercukai.

“Bagaimanapun, kita masih menjalakan siasatan lanjut daripada tangkapan yang dibuat untuk mengenal pasti mereka menyeludup barangan terlarang ini,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, operasi itu turut membabitkan 983 anggota termasuk 885 pegawai dan anggota PGA, 11 pegawai Kastam dan 85 daripada PBT dengan dua orang dari Lembah Sari Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Fisol berkata, Op Kontraban dilaksanakan PGA pada tahun ini sehingga 27 Ogos merekodkan nilai keseluruhan RM232.59 juta melibatkan rampasan 86,721,472 batang rokok dan 973,558 liter minuman keras selain 648 tangkapan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Siti Mang pada sidang media di Menara 1 Bukit Aman.

Sementara itu, Siti berkata, JKDM akan terus mempertingkatkan operasi secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain dan operas ini satu pencapaian antara JKDM dan PDRM.

Katanya, antara tindakan undang-undang boleh yang diambil ialah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast