Thiam Poh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah.

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh, Lee Thiam Poh, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Jackie’ di daerah ini, antara 1 Januari 2017 hingga 28 November 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, V Suloshani dan Hairun Najmi Mashahadi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula dan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast