Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican

KUALA LUMPUR – Akta Perolehan Kerajaan 2025 akan mengenakan tindakan punitif terhadap pihak yang terlibat dengan amalan berpindah kontrak dalam perolehan kerajaan tanpa izin termasuk terhadap Menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pesara kerajaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, larangan terhadap aktiviti yang dikaitkan dengan amalan `ali baba’ itu tidak terpakai sebelum ini, sebaliknya hanya tertumpu kepada penjawat awam.

Selain itu, kata beliau, tindakan punitif lebih tegas juga akan dikenakan terhadap syarikat atau kontraktor serta firma yang campur tangan dalam proses perolehan kerajaan serta kegagalan membuat penzahiran kepentingan.

Jelasnya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang tiga kali ganda nilai pemberian atau kontrak perolehan kerajaan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Larangan berpindah tangan atau subkontrak tanpa izin yang sinonim dengan amalan ali baba ini adalah satu kesalahan serius kerana menjejaskan integriti dan keadilan dalam proses perolehan kerajaan.

“Hukuman punitif lebih tegas itu terpakai kepada semua pihak kerana tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang,” katanya dalam sesi taklimat secara online kepada media berhubung akta itu hari ini.

Menurut Johan, akta itu turut memperincikan semua entiti yang menerima dana kerajaan termasuk kerajaan negeri; pihak berkuasa tempatan (PBT); badan berkanun serta anak syarikat kerajaan tertakluk kepada peraturan tersebut.

Ujar beliau, bagi memastikan ketelusan, satu mekanisme semak dan imbang turut diperkenalkan melalui saluran aduan dan rayuan sehingga ke peringkat tribunal yang bersifat berkecuali.

Jelasnya, bagi menjamin keadilan, tribunal itu akan dipengerusikan pegawai kehakiman atau perundangan, bukannya dilantik dalam kalangan penjawat awam.

“Kita mahu mewujudkan sistem yang bukan sahaja adil, tetapi juga diyakini rakyat dan pemain industri.

“Dengan adanya proses semakan bebas, keputusan perolehan boleh dicabar sekiranya terdapat rasa tidak puas hati,” katanya.

Tambahnya, akta itu juga memperkukuhkan kuasa penyiasatan dengan membolehkan pegawai yang diberi kuasa meneliti dan mengambil tindakan ke atas mana-mana pelanggaran termasuk dengan bantuan agensi penguat kuasa lain.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perolehan Kerajaan 2025 menerusi undian belah bahagian dengan seramai 125 Ahli Parlimen menyokong; 63 menolak, seorang tidak mengundi, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memperincikan RUU itu sebelum dibahaskan oleh seramai 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Meskipun pembangkang menggesa RUU bacaan kali kedua itu ditangguhkan dengan alasan ia dibentang pada saat-saat akhir sekali gus meminta dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), namun undia tetap diteruskan sebelum Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kelulusannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast