KUALA LUMPUR – Tanggapan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah peluang keemasan kepada orang Melayu keluar daripada kawasan perumahan lama dan mendapatkan kehidupan lebih sempurna disifatkan agak dangkal dan berbahaya.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, dakwaan bahawa pemimpin politik Melayu termasuk Ahli-Ahli Parlimen Melayu yang menolak atau membantah RUU itu dianggap sebagai `mengkhianati’ orang-orang Melayu bandar juga perlu diperbetulkan.
Jelas beliau, RUU itu tidak hanya melibatkan orang Melayu di bandar, sebaliknya menyentuh kehidupan semua rakyat tanpa mengira kaum yang tinggal di kejiranan atau kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai usang, terabai atau tidak sesuai didiami.
“Sama ada mereka Melayu, Cina, India, atau lain-lain, setiap komuniti berhak mendapat layanan adil dan proses pembaharuan yang telus,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Tambah Azizi, pihak yang menolak RUU itu juga bukan semata-mata kerana tidak mahu pembangunan semula dilakukan.
Sebaliknya, ujar beliau, majoriti mereka yang membantah adalah termasuk pakar perancang bandar, arkitek, peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan sendiri.
Menurutnya, pihak yang membantah itu kerana kandungan RUU tersebut terlalu memberi kuasa kepada Menteri, tidak cukup mekanisme perlindungan hak pemilik asal dan membuka ruang manipulasi oleh pemaju.
“Apakah itu dinamakan “pengkhianatan”?
“Atau sebenarnya, mereka yang menyuarakan bantahan inilah yang sedang mempertahankan rakyat dari menjadi mangsa ketamakan?,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya benar RUU itu adalah untuk membantu rakyat, maka ia perlu ditulis dengan adil, telus dan tidak berat sebelah kepada pemaju atau kuasa politik.
Katanya, kelemahan dalam RUU itu tidak boleh disembunyikan di sebalik slogan `pembangunan untuk rakyat’.
“Isu ini isu dasar, isu undang-undang, isu masa depan kawasan tempat tinggal rakyat.
“Jangan sempitkan menjadi isu perkauman. Jangan gelapkan perbahasan dengan sentimen,” katanya.
Tambah beliau, apa yang diperlukan ketika ini adalah satu RUU yang benar-benar berpihak kepada rakyat, bukannya yang membuka jalan kepada pemusatan kuasa dan pengambilan tanah secara paksa tanpa perlindungan sewajarnya.
Semalam media melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajan daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri. – MalaysiaGazette
















