KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Dewan Rakyat semalam membuktikan suara rakyat termasuk bantahan serius Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membawa kesan serta diberi perhatian sewajarnya.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN berpandangan RUU itu dalam bentuk asalnya tidak mengambil kira kepentingan sewajarnya pemilik asal hartanah, khususnya masyarakat Melayu yang telah sekian lama menetap dan membina kehidupan di kawasan bandar.
Menurutnya, cadangan ambang persetujuan yang rendah serta kaedah pelaksanaan yang kabur menimbulkan risiko besar terhadap hak pemilikan, kestabilan komuniti setempat dan kesinambungan demografi bandar.
Sehubungan itu, ujar beliau, PN secara konsisten menegaskan beberapa perkara utama perlu diberikan perhatian oleh kerajaan menerusi RUU itu antaranya hak pemilik asal mesti dilindungi.
Jelasnya, sebarang usaha pembaharuan bandar tidak boleh menjejaskan pemilik sedia ada yang menjadi tulang belakang komuniti tempatan, terutama orang Melayu yang semakin terhimpit oleh tekanan pembangunan dan kos sara hidup.
Selain itu, ujar beliau, pembangunan semula juga tidak boleh dilihat hanya dari sudut komersial semata-mata, sebaliknya mesti diselaraskan dengan prinsip keadilan sosial, kelestarian budaya dan kesejahteraan rakyat.
Dalam masa sama, jelasnya, PN menolak sebarang dasar yang boleh mengubah wajah masyarakat bandar secara drastik sehingga menghakis kehadiran serta hak masyarakat Melayu dan bumiputera di bandar-bandar utama.
“Sebelum RUU ini dibawa semula, kerajaan wajib mengadakan sesi libat urus yang telus dengan semua pihak berkepentingan terutama pemilik hartanah, selain daripada persatuan penduduk, ahli profesional serta pimpinan masyarakat termasuk wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Semalam media melaporkan, perbahasan dan pengundian RUU PSB 2025 ditunda ke sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.
RUU itu berdepan penolakan kuat daripada pelbagai pihak khususnya daripada wakil rakyat pembangkang termasuk beberapa Ahli Parlimen kerajan daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.
Sementra itu, Takiyuddin berkata, PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan kerajaan tidak menggunakan alasan `pembangunan’ untuk mengorbankan kepentingan rakyat dan menjejaskan hak pemilikan tanah serta kediaman generasi asal bandar.
Tambahnya, PN juga menegaskan bahawa pembangunan semula bandar hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia adil, telus dan menjaga kepentingan semua pihak, bukannya mengutamakan keuntungan segelintir pihak berkepentingan semata-mata.
“Justeru PN akan terus memantau perkembangan ini dan bersedia mengemukakan cadangan yang lebih baik demi memastikan dasar pembangunan bandar di Malaysia benar-benar berpaksikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















