KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 14 sebuah apartmen di Semenyih, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 5.18 petang.
Katanya, kejadian disaksikan pengawal keselamatan bangunan berkenaan yang sedang melakukan rondaan.
“Dia melihat penghuni wanita berusia 48 tahun duduk di balkoni rumahnya di tingkat 14 sebelum jatuh ke kawasan tempat letak kereta.
“Wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selain bahagian paha,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu Naazron meminta individu mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017-9788804 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















