KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menggesa pihak berkuasa berkaitan segera menjalankan kajian secara mendalam berhubung kejadian gempa bumi yang dilaporkan kerap berlaku di daerah Segamat dalam tempoh seminggu lalu.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, agensi terlibat perlu mengambil tindakan segera termasuk membuka bilik gerakan bagi meninjau dan membuat siasatan khusus terutama melibatkan penduduk yang tinggal paling hampir dengan lokasi kejadian.
Menurutnya, langkah itu penting supaya data yang diperoleh dapat dianalisis dengan tepat, seterusnya dijadikan panduan bagi menjamin keselamatan orang ramai.
“Pihak berkuasa juga perlu memberi penerangan bersemuka kepada masyarakat di kawasan terjejas mengenai maklumat keselamatan sekiranya berlaku gegaran susulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daerah Segamat hari ini sekali lagi dilanda gempa bumi lemah dengan magnitud 2.7 kira-kira pukul 7.29 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gegaran itu berpusat kira-kira dua kilometer barat laut Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.
Berdasarkan rekod, gempa bumi pagi tadi merupakan yang keenam berlaku di daerah Segamat sejak Ahad lalu, termasuk pukul 4.24 pagi semalam dengan magnitud 3.4.
Sementara itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading turut mencadangkan supaya pendidikan mengenai langkah keselamatan ketika berlakunya gempa bumi diberikan kepada masyarakat, termasuk latihan kecemasan seperti yang dilakukan dalam latihan kebakaran.
Jelas beliau, keutamaan harus diberikan kepada aspek keselamatan dan kesedaran awam supaya penduduk tidak panik dan mengetahui tindakan yang wajar diambil jika berdepan sebarang bencana. – MalaysiaGazette
















