KUALA LUMPUR – Tindakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengeluarkan notis penutupan premis selama 30 hari bukan tindakan ultra vires mahupun suatu tindakan kejam.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu mengikut undang-undang dan merupakan amaran keras supaya semua pihak tidak cuai atau mengambil sikap sambil lewa apabila menyentuh isu berhubung kait kedaulatan dan maruah negeri serta negara.
Tegas beliau, selepas 68 tahun kemerdekaan negara, alasan kecuaian yang sama tidak seharusnya terus berulang.
Apatah lagi, ujarnya, kesilapan itu bukan perkara kecil, malah merupakan tamparan terhadap kedaulatan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata.
Tambahnya, bangsa Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang mesti sedar bahawa menghormati Jalur Gemilang dan bendera Johor bukan pilihan, tetapi kewajipan.
Menurut beliau, bendera bukan sekadar kain yang berkibar di tiang, tetapi ia adalah simbol kedaulatan, maruah dan kesetiaan, manakala hormat kepada bendera bermakna hormat kepada negeri dan negara itu sendiri.
“Justeru, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memelihara lambang ini, manakala alasan kecuaian pekerja adalah tidak wajar kerana majikan warganegara wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di premis masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Jafni, arahan tindakan penutupan premis yang dikeluarkan adalah selari sebagaimana peruntukan yang dinyatakan di dalam Undang-Undang Kecil (UUK) 49(2), Kuasa Menutup Premis, setelah pengesahan terhadap pelanggaran peruntukan yang dilakukan oleh premis berkenaan.
Jelasnya, ia kekal sebagaimana UUK 45(1), Pengibaran Bendera, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.
“Ini bermakna tindakan berkenaan mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan bukan keputusan sewenang-wenangnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, Kerajaan Negeri Johor tegas sekiranya insiden seperti itu berulang, tindakan yang lebih tegas dan tanpa kompromi akan diambil.
Jelasnya, ketegasan undang-undang amat penting supaya setiap rakyat dan pihak berkepentingan benar-benar menghormati lambang kedaulatan negara serta negeri, sekali gus menutup ruang daripada alasan remeh yang boleh mencemarkan maruah bendera yang kita semua sayangi.
Pada 20 Ogos lalu, sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Pada 25 Ogos pula, sebuah pasar raya mini di Pekan Nanas turut dikenakan tindakan sama selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan DAP Johor yang menyifatkannya arahan penutupan tersebut keterlaluan dan hukuman dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan. – MalaysiaGazette
















