KUALA LUMPUR – Seorang pakar geologi merungkai persoalan yang bermain di fikiran orang ramai ketika ini iaitu sama ada Malaysia berisiko mengalami gempa bumi yang lebih besar pada masa depan, susulan beberapa siri gempa bumi yang berlaku di Segamat, Johor sejak minggu lalu.
Pensyarah Kanan di Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Dr. Harry Telajan Anak Linang berkata, berdasarkan kajian geologi terhadap panjang sesar dan bukti gempa bumi purba (paleo-seismologi), pakar mendapati sesar-sesar di Semenanjung berpotensi menghasilkan gempa bumi sehingga magnitud 6.
Bagaimanapun, jelasnya, penting untuk difahami bahawa ‘potensi’ tidak bermakna ‘pasti akan berlaku dalam masa terdekat’.
Menjelaskan lebih lanjut, tambah beliau, risiko seismik di Semenanjung Malaysia masih dikategorikan sebagai rendah hingga sederhana, jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia.
“Gempa bumi yang kita alami di Segamat adalah lemah (magnitud 3-4) dan tidak menyebabkan kerosakan besar.
“Peristiwa ini seharusnya menjadi satu ‘panggilan kesedaran’ yang penting, bukan sumber ketakutan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook Jabatan Geologi, Universiti Malaya semalam.
Tambah Harry Telajan yang memegang Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang seismologi daripada Universiti Cambridge, walaupun gegaran di Segamat adalah yang pertama direkodkan di Johor dalam tempoh lebih 100 tahun, namun aktiviti seismik tempatan bukan sesuatu yang asing di Semenanjung Malaysia.
Katanya, rekod sejarah dan geologi menunjukkan pada tahun 1922, dua gempa bumi yang lebih kuat iaitu pada magnitud 5.4 dan 5.0 pernah melanda Johor dan menyebabkan kerosakan kecil di sekitar Muar.
Jelasnya, ia sekali gus membuktikan sesar di kawasan itu sememangnya mampu menghasilkan gegaran.
Selain itu, tambahnya, gegaran tempatan juga pernah direkodkan di beberapa lokasi lain di sepanjang garis sesar purba seperti di Bukit Tinggi (Pahang); Kuala Pilah (Negeri Sembilan); Manjung (Perak) dan Kenyir (Terengganu).
“Ini menunjukkan bahawa kerak bumi di bawah kita sememangnya mempunyai struktur sesar yang boleh diaktifkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebagai langkah ke hadapan, tambah beliau, meskipun tidak boleh meramal kejadian gempa bumi, namun orang ramai masih boleh bersedia.
Ujarnya, kejadian gempa bumi di Segamat misalnnya, menggariskan kepentingan pemantauan berterusan oleh agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang pada masa ini sentiasa memantau aktiviti seismik untuk memberikan maklumat pantas dan tepat kepada warga awam.
Selain itu, jelasnya, penyelidikan lanjutan juga diperlukan seperti kajian aktiviti seismik kerak bumi dan permetaan sesar-sesar purba dengan lebih terperinci akan membantu memahami tahap risiko dengan lebih baik.
“Dalam era maklumat pantas, adalah penting untuk mendapatkan berita dan maklumat yang sahih.
“Warga awam perlu mendapatkan maklumat dan nasihat daripada sumber rasmi seperti METMalaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengelakkan penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Tambah beliau, gempa bumi di Segamat adalah satu peringatan geologi bahawa bumi sentiasa dinamik.
Jelasnya, ia adalah hasil proses semula jadi yang telah berlaku sejak dahulu lagi dan dengan memahami sains di sebaliknya, masyarakat boleh menggantikan rasa takut dengan pengetahuan dan kesiapsiagaan.
“Mari kita gunakan peristiwa ini sebagai peluang untuk belajar dan menjadi masyarakat yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Penerangan lebih terperinci oleh Harry Telajan di bawah tajuk `Gegaran di Segamat: Penjelasan Saintifik Mengenai Gempa Bumi Tempatan’ itu boleh dibaca di laman sosial Facebook Jabatan Geologi, Universiti Malaya. – MalaysiaGazette
















