Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bergambar bersama tetamu dan peserta yang hadir pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia menolak segala bentuk penjajahan kerana ia memperbodohkan rakyat sehingga mengagumi kuasa asing dan terpukau dengan budaya barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, penjajahan merupakan satu pengkhianatan oleh kuasa angkuh yang bukan sahaja merampas kekayaan negeri-negeri, malah menghakis kekuatan dan keyakinan jati diri rakyat negara ini.

Menurut beliau, kemerdekaan yang dikecapi selama 68 tahun, dibayar dengan harga yang tinggi melalui pengorbanan nyawa, harta benda, keringat, darah dan air mata semua kaum.

“Kita menolak penjajahan kerana ia pengkhianatan kepada negara dan kemerdekaan yang dinikmati bukan dengan harga yang murah, maka peliharalah negara ini kerana ia unik dengan pelbagai kaum dan budaya.

“Malaysia merupakan sesatunya negara pelbagai kaum yang bertahan dari segi keamanan, ekonomi, kekuatan semangat perpaduan dan budaya di sekitar Asia,” ujar Perdana Menteri.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dekat sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu cilik yang hadir sambil mengenakan pakaian tradisional pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2025

 

Dalam ucapannya, Anwar selanjutnya berkata, demi mempertahankan keamanan, gejala memecahbelahkan kaum harus dikawal secara keras bagi mengelak unsur-unsur hasutan mempengaruhi rakyat.

Beliau kemudian memetik contoh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar 2025 yang masih dibelenggu dengan rasa takut, walhal tidak wajar perasaan itu dipupuk dalam masyarakat.

“Tiada negara yang mampu bertahan kalau menerima unsur hasutan dan kebencian dalam kalangan penduduknya.

“Kita tidak harus mengetepikan kepentingan kaum lain. Saya tetap bangga sebagai seorang Melayu, kehebatan budaya dan bahasa Melayu, namun tidak wajar meremehkan apatah lagi menghina kaum lain,” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, ada pihak yang taksub dengan bahasa kaum mereka sehingga menghina bahasa lain.

Ujar beliau, sentimen itu perlu dielakkan kerana ia dikhuatiri akan menghancurkan negara dengan masalah bahasanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast