KUANTAN – Agenda pendidikan terus menjadi tonggak utama pembangunan negeri ini apabila sanggup membelanjakan RM2.5 juta dalam memperkenalkan Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkat,a dengan fokus kepada tiga kelompok peperiksaan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025.
Menurutnya seramai 23,784 pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di negeri ini menerima inisiatif tersebut secara percuma.
”Buku-buku ini disediakan oleh guru-guru cemerlang, serta pemeriksa kertas peperiksaan SPM, STPM dan STAM yang berpengalaman luas.
”Sebanyak empat subjek meliputi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik disediakan kepada pelajar.
”Kesemua mereka dibekalkan buku rujukan tanpa mengira latar belakang kemampuan keluarga,” katanya pada majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 di Dewan Perdana, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri merasakan keperluan kepada pelajar yang menghadapi peperiksaan untuk menambah ilmu pengetahuan selain membantu kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menafikan laporan sebelum ini menyatakan Pahang merupakan antara negeri tertinggi kes buli.
“Angka rasmi menunjukkan tiada kes keterlaluan dilaporkan. Jika ada, kita akan ambil tindakan segera kerana ia bercanggah dengan dasar kerajaan,” ujarnya.
Selain itu pihaknya bersedia mengambil pelbagai langkah pencegahan daripada kes buli berlaku.
Sementara itu Wan Rosdy berkata, cadangan penubuhan Universiti Al-Quran di Pahang masih di peringkat perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi, namun tapak awal sudah dikenal pasti serta perbincangan lanjut masih dijalankan. – MalaysiaGazette
















