TANGKAP layar video kejadian sebuah lori merempuh penunggang motosikal di laluan kecemasan yang tular di media sosial hari ini. - Sumber video: FB Kelab Info Malaysia

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori warga tempatan berusia 27 tahun ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan kejadian kemalangan dengan sebuah motosikal di Lebuhraya PLUS Seremban-Kuala Lumpur yang videonya tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, di KM292.8 lebuh raya itu menghala ke Kuala Lumpur.

Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai jurutera elektrik meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jelasnya, siasatan mendapati, ketika kejadian pemandu lori berkenaan yang sedang memandu di lorong kiri dari Bahau menghala ke Dengkil secara tiba-tiba memasuki lorong kecemasan tanpa sebarang isyarat dan melanggar penunggang motosikal yang sedang menunggang di lorong kecemasan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM5,000,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, video kemalangan itu yang menyaksikan sebuah lori secara tiba-tiba memasuki lorong kecemasan dan merempuh seorang penunggang motosikal tular di laman media sosial.

Bagaimanapun menerusi video berdurasi 33 saat itu, pemandu lori berkenaan dilihat meneruskan perjalanan dan tidak berhenti di lokasi kejadian selepas kemalangan tersebut berlaku.

Dalam pada itu, Naazron menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kajang, Insp. Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan.

“Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah dan sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast