KUANTAN – Keputusan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar 2025 adalah wajar.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara berkenaan supaya kajian terperinci dilakukan selain tidak tergesa-gesa membuat keputusan.
”Sebagai Menteri Besar, saya melihat penangguhan ini sebagai ruang penting untuk Kerajaan Negeri memberikan pandangan secara lebih menyeluruh melalui sesi libat urus, sama ada dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahupun melalui perbincangan bersama pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
”Bagi pihak UMNO Pahang, saya turut berterima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah memainkan peranan penting dalam meyakinkan Kerajaan Persekutuan dan KPKT untuk memanjangkan lagi sesi perbincangan.
”Langkah ini amat wajar supaya beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan masyarakat dapat diperjelaskan dan diambil kira sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 di Dewan Perdana, Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Katanya, UMNO berpendirian tegas bahawa kedudukan orang Melayu di bandar mesti terus dilindungi.
Namun dalam masa yang sama, UMNO juga mahu supaya masyarakat Melayu diberi peluang untuk menikmati kediaman yang lebih selesa, tersusun dan bersih serta bukan lagi terikat dengan kediaman flat usang yang sering dikaitkan dengan masalah sosial.
Justeru, Rang Undang-Undang yang bakal digubal dan diputuskan kelak haruslah mengambil kira keseimbangan kedua-dua kepentingan ini iaitu melindungi kedudukan orang Melayu di bandar, sambil memastikan peluang peningkatan kualiti hidup mereka terjamin. – MalaysiaGazette
















