Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi Tahun 2025 di pasaran Semenanjung yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 1 Mac lalu akan berakhir esok.

KPKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan tinjauan terhadap trend permintaan sejak program itu mula dilaksanakan, permintaan terhadap BPT adalah kira-kira sebanyak 18.2 juta kampit (75.8 peratus) daripada sasaran asal sebanyak 24 juta kampit.

Katanya, trend itu menunjukkan rakyat lebih cenderung kepada beras yang ditawarkan pada harga berpatutan, berbanding semata-mata memilih BPT.

“Mengambil kira impak daripada program ini dan penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) RM2,600 per tan metrik di pintu gudang Bernas yang berkuat kuasa pada 15 Mei 2025, penilaian terperinci akan dijalankan bagi menentukan strategi terbaik dalam pembekalan beras putih di dalam negara termasuk mekanisme bagi menangani amalan pencampuran beras,” katanya.

Tambah kenyataan itu, dengan berakhirnya Program Khas PBT Bersubsidi Tahun 2025 esok, KPKM akan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga beras dalam jangka panjang.

Ujarnya, ia selaras dengan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh serta sentiasa terjamin dan mencukupi.

Dalam masa sama, katanya, KPKM juga memberi jaminan bekalan beras akan terus dipantau bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi pada harga yang berpatutan.

Program Khas BPT Bersubsidi Tahun 2025 selama enam bulan itu merupakan salah satu usaha Kerajaan MADANI dalam menyasarkan subsidi dengan lebih berkesan, serta merupakan sebahagian daripada program transisi pembekalan beras putih di Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast