KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) 2025 didakwa bakal menindas rakyat berpendapatan rendah dan sederhana apabila membuka ruang pemindahan paksa, selain hanya menguntungkan pihak pemaju.
Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu, Zarani Othman berkata, RUU berkenaan membawa implikasi besar kepada pemilikan rumah rakyat di bandar, khususnya orang Melayu dan bumiputera.
“RUU ini membuka ruang pemindahan paksa ke atas rakyat dengan mekanisme pampasan yang tidak jelas. Jika diberi dalam bentuk rumah baharu sekalipun, ramai rakyat tidak mampu memilikinya kerana harga rumah semakin tinggi.
“Lebih membimbangkan, RUU ini tidak menjamin perlindungan tanah rizab Melayu dan prosesnya tidak melalui Majlis Raja-Raja. Kuasa seolah-olah hanya berlegar pada seorang menteri, sekali gus mengabaikan peranan Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
RUU itu juga berisiko mewujudkan gentrifikasi bandar yang hanya mampu didiami golongan kaya, manakala rakyat miskin bandar terusir ke kawasan lebih jauh.
Menurutnya, situasi sama pernah berlaku di Singapura apabila pembangunan semula HDB memaksa penduduk asal berpindah kerana tidak mampu menanggung kos baharu, manakala di Kuala Lumpur pula, tekanan pembangunan sentiasa menghantui penduduk asal Kampung Baru.
Zarani turut membangkitkan isu rumah berusia 30 tahun yang boleh diambil alih kerajaan atas nama pembangunan semula meskipun pemilik masih menanggung pinjaman bank sehingga 35 tahun.
“Ini bukan sahaja zalim, malah menindas pemilik yang sudah berkorban bertahun-tahun membayar hutang rumah, tetapi akhirnya hilang kediaman tanpa jaminan pampasan yang adil,” katanya.
Penolakan terhadap RUU URA, jelas beliau, bukan soal politik atau perkauman, sebaliknya isu nasional yang menyentuh semua kaum termasuk Cina, India, Iban, Kadazan dan Orang Asli.
“RUU URA akan memburukkan jurang antara si kaya dan miskin. Penyewa rumah kos rendah – yang majoritinya rakyat berpendapatan rendah – akan menjadi mangsa paling awal pengusiran kerana mereka tidak dilindungi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat Pas Terengganu mendesak kerajaan menangguhkan serta mengkaji semula RUU berkenaan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada perlindungan jelas terhadap penyewa miskin bandar.
Selain itu, mekanisme pampasan yang adil dan mampu milik, perlindungan tanah Rizab Melayu, penyertaan rakyat dalam proses membuat keputusan serta memastikan kuasa Menteri diseimbangkan dengan peranan kerajaan negeri dan Raja-Raja Melayu.
“Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu menyeru rakyat, NGO dan wakil rakyat menolak RUU URA dalam bentuknya sekarang.
“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan yang menindas rakyat, menggugat tanah Melayu dan mengabaikan suara masyarakat adalah bentuk penjajahan gaya baharu yang mesti ditentang habis-habisan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette















