KUALA LUMPUR – Tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa diterima susulan kejadian gempa bumi terbaharu yang melanda Segamat, Johor awal pagi tadi.
Pegawai Daerah Segamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihak berkuasa keselamatan serta agensi-agensi yang berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut susulan kejadian itu.
Katanya, ia bagi memastikan keadaan di daerah Segamat berada dalam keadaan selamat terutamanya untuk orang awam.
“Orang awam diminta untuk bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
“Oang awam juga dinasihatkan untuk mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, orang awam digalakkan untuk melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.
Ujarnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.29 pagi tadi, daerah Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi lemah dengan magnitud 2.7.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, gegaran itu berpusat kira-kira dua kilometer barat laut Segamat dengan kedalaman 10 kilometer.
Menurut laporan awal, gegaran dapat dirasai oleh penduduk di kawasan sekitar daerah Segamat dan kawasan berdekatan.
Berdasarkan rekod, gempa bumi pagi tadi merupakan yang keenam berlaku di daerah Segamat sejak Ahad lalu, termasuk pukul 4.24 pagi semalam dengan magnitud 3.4. – MalaysiaGazette
















