[GAMBAR FAIL] Penerima Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mengambil peluang untuk berbelanja selepas ianya mula disalurkan bermula hari ini, di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – 850,000 penerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membelanja lebih RM50 juta setakat jam 9.30 malam pada hari pertama pelaksanaannya.

Menurut Kementerian Kewangan, sambutan tinggi daripada penerima sumbangan itu menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak.

“Susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses.

Jelasnya, Kementerian Kewangan (MoF) dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan esok.

“Bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, pihak MyKasih akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem pada malam ini,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, MoF memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar.

Katanya, bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini.

Ujarnya, sehingga 30 Ogos 2025, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian kira-kira 600,000 transaksi sehari.

Sementara itu, MoF ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast