Suasana meriah dan semangat patriotik terserlah dalam penerbangan Batik Air hari ini.

KUALA LUMPUR – Suasana penuh semangat patriotik menyelubungi ruang udara hari ini apabila syarikat penerbangan Batik Air meraikan penumpangnya dengan cenderahati istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Semua penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke pelbagai destinasi dalam negara disambut mesra oleh kru penerbangan dengan pemberian Jalur Gemilang serta snek ringan.

Bagi kebanyakan penumpang, kejutan itu bukan sekadar pemberian simbolik tetapi juga membangkitkan rasa kebersamaan dan kebanggaan terhadap tanah air.

Ada yang dilihat mengambil peluang merakam gambar kenangan sambil mengibarkan Jalur Gemilang di dalam pesawat, mencipta suasana yang cukup meriah.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, inisiatif itu adalah cara syarikat penerbangan berkenaan berkongsi semangat kemerdekaan dengan rakyat Malaysia yang sentiasa menjadi nadi kepada operasi mereka.

“Hari Merdeka mengingatkan kita tentang perjalanan bersama sebagai rakyat Malaysia tentang perpaduan, ketabahan dan kebebasan untuk terus mara ke hadapan.

“Di Batik Air, kami berbangga dapat menghubungkan rakyat Malaysia dari setiap pelosok tanah air. Pada hari istimewa ini, kita bukan sahaja meraikan kemerdekaan, tetapi juga meraikan rakyat, perjalanan dan ikatan yang membawa kita terbang lebih tinggi sebagai Satu Malaysia,” katanya.

Warga Batik Air teruja meraikan sambutan kemerdekaan hari ini.

Beliau menegaskan, komitmen Batik Air bukan sekadar menyediakan rangkaian penerbangan lebih luas tetapi juga memastikan setiap perjalanan memberi pengalaman bermakna, seiring dengan identiti negara yang kaya dengan budaya dan sejarah.

Dengan langkah ini, Batik Air sekali lagi meneguhkan peranan sebagai syarikat penerbangan yang dekat di hati rakyat, menyemarakkan detik bersejarah negara bukan hanya di darat, malah di udara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast