PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang diadakan di Dataran Putrajaya di sini berlangsung dalam suasanan meriah dengan pelbagai acara seperti perbarisan, persembahan serta aktiviti riang rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, acara gilang-gemilang itu dihadiri lebih 100,000 rakyat Malaysia berbilang bangsa.
Katanya, seramai 14,062 peserta terlibat dalam perbarisan rasmi pada tahun ini, membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pelajar sekolah dan pertubuhan masyarakat.
“Berbeza tahun ini dengan tahun lalu, kita juga sediakan acara sisipan bagi mereka yang hadir di mana mereka boleh pergi ke sekitar Dataran Monumen Alaf Baru.
“Ada program Riuh Merdeka sehingga pukul 6 petang hari ini dengan pelbagai persembahan, makanan, minuman dan jualan produk-produk tempatan.
“Saya cukup berbangga dan cukup gembira, Alhamdulillah semua perancangan berjalan seperti yang telah kita susun,” katanya selepas sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut sempat menyaksikan persembahan Human Graphic yang disertai lebih 2,000 pelajar dari seluruh negara.
Persembahan yang melalui lebih dua bulan latihan itu dipuji sebagai yang terbaik pernah dipersembahkan.
Dalam pada itu Fahmi melahirkan rasa bangga dengan semangat rakyat yang sanggup berkampung sejak semalam dan hadir seawal pagi demi meraikan sambutan bersejarah negara.
Beliau turut mengakui terdapat cadangan penambahbaikan, termasuk kedudukan jurufoto media yang lebih strategik bagi memberikan liputan lebih baik pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















