Foto: Polis Marang

MARANG – Sepasang suami isteri ditemukan lemas selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik dipercayai dipukul ombak besar dan angin kencang di perairan Kuala Merchang di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata, dalam kejadian 3.30 petang itu, bekas tentera Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, suri rumah dari Pulau Kerengga, di sini, keluar menangkap ikan menggunakan bot bersaiz enam meter.

“Siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut pada 7.45 pagi. Mayat mereka ditemukan nelayan tempatan pada jarak antara tiga hingga empat kilometer dari Pantai Merchang.

“Norhasriah ditemukan pada 4.30 petang manakala suaminya pada 4.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sofian berkata, mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau menasihatkan supaya nelayan serta orang awam sentiasa merujuk ramalan cuaca sebelum ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana cuaca di perairan Kuala Merchang sejak 28 Ogos tidak menentu dengan laut bergelora dan angin kencang. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast