KUANTAN – Seorang kerani berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM299,646 di sini dalam tempoh sebulan apabila terperdaya melibatkan kes penipuan kerja sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 52 tahun yang bekerja sebagai kerani akaun telah berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi TikTok pada 1 Ogos lalu.
“Suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang kerja sambilan melalui pautan aplikasi yang menyerupai platform jualan borong Shein.
“Mangsa kemudian menerima satu pautan laman web daripada suspek dan membuat pendaftaran pada laman tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita berkenaan diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan.
Mangsa telah melakukan sebanyak 16 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan sendiri.
Namun selepas itu mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.
Polis menasihatkan serta menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengarh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
Sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazatte
















