KUALA LUMPUR – Polis Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia selepas menemui senjata api jenis serbu bersama ratusan butir peluru di dalam kereta yang dipandunya ketika melalui sekatan jalan raya di Sadao, Songkhla kelmarin.
Menurut laporan media tempatan, suspek berusia 46 tahun itu ditahan sekitar pukul 5.35 petang dalam operasi keselamatan yang dijalankan pihak berkuasa Thailand bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan ancaman rentas sempadan lain.
Pemeriksaan terhadap kenderaan Kia berdaftar di Malaysia yang dipandu suspek membawa kepada penemuan dua laras raifal M4, 300 butir peluru 5.56mm, tujuh kelopak 5.56mm, 100 butir peluru kaliber 45 dan 50 butir peluru 9mm.
Semua rampasan tersebut kini dijadikan bahan kes untuk siasatan lanjut.
Menurut sumber keselamatan Thailand, pihaknya sedang menyiasat tujuan sebenar suspek memiliki senjata berat dan bekalan peluru dalam jumlah begitu besar, sama ada untuk digunakan di Thailand atau cuba diseludup ke Malaysia.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah ketika dihubungi media turut mengesahkan tangkapan itu serta memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Thailand.
“Buat masa ini biarlah siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand dahulu kerana kita masih belum tahu tujuan sebenar senjata itu dibawa, sama ada untuk digunakan di sana atau cuba dibawa masuk ke negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















