KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara hari ini mengumumkan pelantikan seramai lapan wira sukan negara sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.
Mereka masing-masing terdiri daripada pasangan beregu lelaki badminton negara iaitu Goh Sze Fei; Izuddin Rumsani; Wan Muhammad Arif Shaharudin dan Yap Roy King.
Turut dilantik ialah pasangan beregu badminton wanita negara iaitu Pearly Tan Koong Le dan M. Thinaah serta pasangan beregu lelaki dart negara iaitu Tengku Hadzali Tengku Mustaffar dan Tan Jenn Ming.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sukan merupakan wadah paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, setiap kali atlet negara berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga.
Jelasnya, para atlet itu bukan sahaja mencipta kejayaan di arena antarabangsa, malah menjadi contoh teladan yang membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta mengukuhkan semangat Malaysia Madani.

“Saya menzahirkan harapan agar kesemua Ikon Perpaduan ini dapat terus menyebarkan mesej perpaduan dan menanam benih-benih keharmonian dalam kalangan rakyat.
“Ini selaras dengan aspirasi negara untuk membina sebuah negara bangsa yang aman, harmoni dan bersatu padu,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, pasangan beregu wanita negara, Pearly-Thinaah menghadiahkan pingat perak buat negara selepas muncul naib juara dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025.
Lebih manis, kejayaan itu dilakar ketika negara sedang meraikan Hari Kemerdekaan ke-68, selain Pearly-Thinaan turut melakar sejarah sebagai pasangan beregu badminton wanita pertama yang berjaya memperoleh pingat serta beraksi di pentas final kejohanan dunia tersebut. – MalaysiaGazette
















