TEHRAN – Atomic Energy Organization of Iran mengesahkan dua pemeriksa daripada badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyelia proses penggantian bahan api di loji kuasa nuklear Bushehr.
Ketuanya, Mohammad Eslami memberitahu, pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dibenarkan untuk menyelia kerja dengan kelulusan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran dan di bawah undang-undang yang diluluskan pada Jun untuk menyekat kerjasama dengan agensi itu.
Beliau berkata, pemeriksa menjalankan tugas mereka selaras dengan perundangan, selepas menerima permit yang diperlukan, dan kemudian meninggalkan negara ini.
Eslami menambah, Kementerian Luar Iran telah mengadakan dua pusingan rundingan dengan IAEA, dan satu pusingan ketiga dirancang.
“Yang penting ialah apa yang perlu direalisasikan mengikut undang-undang Parlimen sedang dirundingkan pada masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menuduh IAEA “double standard” apabila mendakwa ketua pengarah agensi itu, Rafael Grossi, bertindak di bawah pengaruh kuasa dunia.
“Agensi itu mesti bertindak mengikut peraturan bertulis dan peraturan PBB, tetapi kita menyaksikan tingkah laku selektif,” katanya.
Iran menggantung kerjasama dengan IAEA pada awal Julai selepas Presiden Masoud Pezeshkian menandatangani rang undang-undang Parlimen yang mengekang akses ke tapak nuklear.
Tehran berkata, langkah itu susulan serangan Israel dan AS ke atas kemudahan nuklearnya dan menuduh Grossi berpihak kepada Barat apabila tidal mengutuk serangan berkenaan.
Sekatan itu, yang memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan Negara untuk lawatan pemeriksa, telah menimbulkan kebimbangan daripada Setiausaha Agung PBB dan memperbaharui gesaan Israel untuk mengembalikan semula sekatan PBB ke atas Iran. – Agensi
















