KUALA LUMPUR – Siasatan menyeluruh termasuk melibatkan perihal prosedur-prosedur sedia ada penting dilakukan susulan cubaan serangan terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah.
Sambil melahirkan rasa kecewa, Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut menyifatkan kejadian itu tidak wajar berlaku dalam hal melibatkan keselamatan Sultan Perak.
Tambahnya, kejadian itu perlu dijadikan teladan kepada semua pihak untuk memastikan keselamatan dan kawalan dipertingkatkan dan bagi mencegah kejadian seumpamanya tidak akan berulang.
“Semoga Allah terus melindungi Paduka Seri Tuanku, Duli Raja-Raja Melayu serta keluarga dan kerabat, serta sentiasa di bawah peliharaan-Nya jua,” katanya yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi semalam, seorang wanita berusia 41 tahun bertindak menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Wanita itu berjaya ditahan dan siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod rawatan psikiatri selain turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah. – MalaysiaGazette
















