KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak petrol bersubsidi yang dikesan di pengkalan haram Kedap, Rantau Panjang, Kelantan.
PGA dalam kenyataan di laman Facebook berkata, rampasan pada jam 12.15 tengah semalam dijalankan selepas melihat seorang lelaki sedang memindahkan tong minyak dari tebing sungai ke dalam perahu semasa melakukan rondaan dalam Op Taring WAWASAN Kelantan.
“Suspek melarikan diri ke Thailand setelah menyedari kehadiran pihak polis.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 12 tong minyak mengandungi 120 liter petrol bernilai RM 246.00 yang tidak sempat diseludup ke Thailand,” katanya.
Menurutnya, hasil rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya dan disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette
















