V. Papparaidu

KUALA LUMPUR – Kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengaitkan insiden baru-baru ini dengan kaum tertentu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, berunsur perkauman dan berpotensi menggugat keharmonian serta ketenteraman awam.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, sebagai seorang wakil rakyat, pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan bukan membuat kenyataan terburu-buru tanpa menyemak fakta terlebih dahulu.

“Kenyataan sedemikian bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh menimbulkan kebencian antara kaum. Mengaitkan bangsa dalam sesuatu insiden adalah tindakan tidak adil dan berbahaya,” katanya yang dipercayai merujuk kepada permohonan maaf dibuat ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri berhubung kekhilafannya merujuk seorang wanita kaum Cina dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah kelmarin.

Terdahulu media melaporkan, Mohd Hafez mendakwa, hantaran beliau berkenaan isu itu yang ditularkan pihak-pihak tidak bertanggungjwab telah dimanipulasi.

Jelasnya, pada waktu kejadian tersebut, beliau telah mendapat makluman awal ia dilakukan oleh seorang perempuan kaum Cina.

Papparaidu yang juga ADUN Banting menegaskan, perbuatan sedemikian boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat seolah-olah seluruh kaum bertanggungjawab atas tindakan individu tertentu sedangkan perkara tersebut belum disiasat secara menyeluruh.

Beliau turut menggesa supaya semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan menentukan kebenaran berhubung insiden tersebut.

“Maklumat berkaitan pelaku serta latar belakang individu terbabit – sama ada siuman atau sebaliknya – mestilah diputuskan berdasarkan siasatan dan pemeriksaan profesional, bukannya kenyataan politik yang tergesa-gesa,” katanya.

Tambah beliau, pemimpin masyarakat serta ahli yang berhormat disarankan agar mengamalkan prinsip tabayyun iaitu menyemak fakta dan memastikan kesahihan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

“Jangan sesekali memperjudikan perpaduan rakyat yang telah kita pertahankan selama 68 tahun kemerdekaan ini dan baru sahaja kita raikan semata-mata kerana kepentingan politik sempit,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi raja perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab, bukannya menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Insiden seperti ini harus dilihat sebagai satu bentuk ekspresi kasih dan taat setia rakyat kepada Raja. Sama ada ia melanggar tatasusila atau sebaliknya, biarlah pihak Istana atau pihak berkuasa yang menentukannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Manjoi mohon maaf rujuk wanita Cina dalam insiden babitkan Sultan Perak

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast