JOHOR BAHRU – Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri contoh dalam pembangunan bandar pintar sejajar inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Pengarah Teknologi Infrastruktur merangkap Pengarah Urusan Johor Infrastructure Group, Datuk Ts Mahadhir Aziz berkata, usaha itu menuntut kerjasama rapat antara kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan pemain industri strategik.
“Fokus utama adalah memastikan integrasi infrastruktur pintar serta pembangunan bangunan pintar yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Kita lihat sekarang pemain-pemain industri, kerajaan Pusat dan juga negeri sedang meneliti bagaimana hendak menyesuaikan pembinaan bandar pintar dan infrastruktur.
“Ada kawasan tertentu dalam konteks bandar pintar ini yang akan dibangunkan khususnya di bawah JS-SEZ,” katanya.
Mahadhir berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Innovation Day Johor 2025: Digital Transformation and Al for a Smart Johor di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pembangunan bandar pintar di Johor tidak hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi digital semata-mata tetapi turut menekankan aspek kelestarian, keselamatan serta kesejahteraan penduduk.
Infrastruktur pintar yang dirancang merangkumi sistem pengangkutan bersepadu, pengurusan tenaga yang cekap dan perkhidmatan awam berasaskan data raya.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, kerajaan negeri komited untuk menjadikan negeri itu sebagai peneraju pembangunan pintar di rantau ini.
“Kerajaan negeri akan memastikan dasar dan perancangan pembangunan sejajar dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri lestari dan berdaya saing. Inisiatif bandar pintar ini juga akan memberi manfaat besar kepada rakyat melalui perkhidmatan awam yang lebih efisien,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran pelaburan asing terutama dari Singapura menerusi JS-SEZ akan memberi nilai tambah kepada pembangunan bandar pintar di Johor.
“Ia bukan sahaja meningkatkan aliran teknologi terkini, malah turut memperkukuh jaringan ekonomi dua hala yang telah lama terjalin antara Johor dan Singapura,” katanya.
Menurusi langkah itu katanya, Johor diyakini mampu muncul sebagai hab serantau bagi pembangunan bandar pintar, setanding dengan negara-negara maju yang menekankan teknologi hijau, lestari serta mesra rakyat.- MalaysiaGazette














