Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Mulai 1 September 2025, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menebus baucar bernilai RM30, yang disubsidi oleh kerajaan bagi membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik yang mempunyai jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50, di bawah program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0).

Kementerian Kewangan berkata, dengan kerjasama industri insurans dan takaful, Kerajaan Madani memperuntukkan RM60 juta di bawah Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0, bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Menurutnya, usaha ini ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40, bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam–swasta yang bersasar.

“PTV3.0 mencerminkan iltizam kerajaan untuk menggapai hasrat meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi Madani.

“Sesungguhnya, sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya. Hatta, inisiatif ini adalah untuk mengembalikan maruah dan membina ketahanan segenap lapisan masyarakat,” kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Melalui PTV3.0, kerajaan tekad untuk memperluas akses kepada semua. Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh
dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” tambah beliau.

Selaras pendekatan Kerajaan Madani untuk menyalurkan bantuan yang bersasar dan saksama, Kementerian Kewangan (MoF) akan melaksanakan protokol pengesahan
identiti dalam PTV3.0 bagi memastikan permohonan yang sahih dan menepati kelayakan.

Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar, atau premis penyedia
yang mengambil bahagian.

Senarai penuh produk yang layak boleh didapati di www.mycoverage.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast