BRUSSELS – Belgium akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luarnya, Maxime Prevot.
Keputusan itu dijangka menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel selepas tindakan serupa oleh Australia, Britain, Kanada dan Perancis.
Di bawah kritikan global yang memuncak kerana perangnya di Gaza, Israel berang dengan keputusan beberapa buah negara yang berikrar untuk mengiktiraf negara Palestin secara rasmi pada sidang kemuncak semasa acara PBB bulan ini.
Belgium akan menyertai penandatangan Deklarasi New York, membuka jalan bagi penyelesaian dua negara, atau negara Palestin yang wujud bersama dalam keamanan bersama Israel, kata Prevot dalam catatan di X.
Tambah beliau, keputusan itu dibuat “berdasarkan tragedi kemanusiaan yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza, dan sebagai tindak balas kepada keganasan yang dilakukan oleh Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa.
“Belgium berhasrat mengiktiraf negara Palestin sebagai sebahagian daripada inisiatif diplomatik bersama yang diketuai oleh Perancis dan Arab Saudi,” kata Prevot sambil menyifatkan tindakan itu sebagai isyarat politik yang bertujuan mengutuk perluasan penempatan dan kehadiran tentera Israel di wilayah tersebut.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengkritik keputusan Kanada untuk menyokong negara Palestin.
Belgium juga akan mengenakan 12 sekatan “tegas” ke atas Israel, seperti larangan mengimport produk dari penempatannya, kajian semula dasar perolehan awam dengan syarikat Israel dan mengisytiharkan pemimpin Hamas sebagai persona non grata di Belgium, kata Prevot.
Prevot juga menekankan komitmen Belgium terhadap pembinaan semula Palestin, sambil menambah bahawa negara itu akan menyokong “langkah Eropah yang menyasarkan Hamas dan menyokong inisiatif baharu Belgium untuk memerangi antisemitisme”. – Agensi
















