Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang boleh dimenanginya selain kerusi sedi ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN perlu memastikan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya juga dapat dipertahankan dalam PRN17 di Sabah menjelang akhir tahun ini.

“Kita telah memantap dan memuktamadkan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi rundingan dengan GRS belum dimuktamadkan.

“Setakat ini kita menghormati kerjasama di antara PH dengan GRS. Yang penting ialah soal kemenangannya.

“Kita lebih tumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita menangi dan itulah tujuan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Bulan September di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putajaya. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2025
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama penjawat awam pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Bulan September di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putajaya. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2025

Pada 18 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor di Putrajaya bagi memuktamadkan kerjasama menjelang PRN17.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan tetap menggunakan parti itu sendiri dalam PRN17 di Sabah sama ada wujud persefahaman atau sebaliknya dengan parti kerajaan negeri itu.

“Kalau perkara itu (kerjasama BN-GRS) tidak dapat diselesaikan, pegangan kita tidak akan menggunakan apa-apa lambang lain, kita akan terus pakai lambang BN,” katanya.

Ditanya tentang persediaan BN setakat ini, Ahmad Zahid berkata, jentera BN sudah digerakkan lebih awal bagi mendepani PRN17 di Sabah.

“Kita di semua 73 Dewan Undangan Negeri Sabah telah kita gerakkan sekian lama, dan kita sedang melihat kawasan-kawasan tumpuan yang akan kita berikan di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast