KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup serta-merta dua pusat hiburan dalam Operasi Tindakan Bersepadu (Ops TEBAH) KL Strike Force yang dijalankan bersama pelbagai agensi penguat kuasa sekitar Kepong dan Bukit Bintang baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan operasi bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Sebanyak tiga premis diperiksa kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen dan melanggar syarat lesen. Hasil pemeriksaan, DBKL mengeluarkan tiga notis kompaun, selain menyita pelbagai peralatan muzik. Dua premis hiburan juga diarahkan tutup serta-merta,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, AADK menahan 32 individu terdiri daripada 27 lelaki dan lima wanita selepas saringan air kencing mendapati mereka positif bahan terlarang.
Sementara itu, JAWI mengeluarkan 30 surat perintah hadir kepada 21 lelaki dan sembilan wanita untuk memberi keterangan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
DBKL menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa khususnya di lokasi tumpuan hiburan di ibu negara. – MalaysiaGazette
















