Pesara tentera, Azrol Lizan Mohamad Rosli, 42, yang kini bertugas sebagai warden sepenuh masa melakukan rondaan rutin di asrama lelaki ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 19 OGOS 2025. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR –  Keberkesanan penempatan bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di bawah projek rintis dalam usaha menangani isu buli akan diketahui selepas tempoh enam bulan pelaksanaan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menilai impak pendekatan itu terhadap pelajar secara keseluruhan.

“Setakat ini progresnya positif tetapi masih terlalu awal untuk saya memberi komen lanjut. Kita tunggu tempoh enam bulan ini selesai, barulah dapatan daripada pihak ketiga iaitu penyelidik UPM akan dikongsikan.

“Mereka akan melihat sejauh mana pendekatan ini berkesan dan jika ada ruang penambahbaikan, kita akan laksanakan demi kebaikan semua,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan The Kuala Lumpur International Summit on Sustainable Future 2025 (KLSF 2025) di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kumpulan pertama bekas anggota polis dan tentera akan memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.

Menurut Asyraf Wajdi, pemilihan warden dibuat melalui tapisan ketat termasuk sesi temu duga komprehensif bagi memastikan mereka benar-benar menepati kriteria yang ditetapkan.

Beliau menegaskan, setiap warden diingatkan supaya menjadikan asrama sebagai rumah kedua buat pelajar, sekali gus memastikan kebajikan, keselamatan dan disiplin mereka terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast