JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan satu video dalam TikTok yang memaparkan sebuah kenderaan skuter elektrik atau mikromobiliti digunakan atas Jalan Uda Utama, Bandar Uda Utama di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3 petang, pada 15 Ogos lalu.
“Insiden membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama-sama seorang wanita dan seorang kanak-kanak menaiki kenderaan berkenaan di lokasi terbabit.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 kerana menggunakan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.- MalaysiaGazette
















