PUTRAJAYA – Tiada sebarang cadangan mahu pun resolusi supaya MIC keluar daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dihantar kepada pucuk pimpinan setakat ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, malah perkara itu tidak berbangkit dan tidak dibincangkan dalam Dewan Tertinggi BN.
“Resolusi itu datang daripada satu MIC bahagian dan pucuk pimpinan mereka belum mengadakan perbincangan dengan saya, apatah lagi ia tidak dibawa ke Dewan Tertinggi BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan MIC Kedah meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN.
Bagaimanapun, MIC Kedah memaklumkan keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
Susulan perkembangan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilaporkan media yang mempelawa MIC untuk menyertai PN.
Ketika ditanya pelawaan Pas itu, Ahmad Zahid berkata, ia hanya pandangan peribadi meskipun beliau menyedari wujud usaha-usaha untuk memancing ahli-ahli Parlimen BN ketika ini.
“Kita rasa kenyataan Timbalan Presiden Pas itu adalah kenyataan peribadi beliau walaupun saya tahu ada usaha-usaha dijalankan oleh mereka untuk memancing.
“Rakan-rakan dalam komponen BN dengan tawaran-tawaran yang belum tentu menjanjikan satu manifestasi yang menguntungkan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















