Polis melakukan serbuan di lapan premis hiburan di beberapa daerah di Johor yang menjadi sarang warga asing

JOHOR BAHRU – Polis menahan 83 warga Myanmar selepas menggempur lapan premis hiburan yang menjadi sarang warga asing dalam Op Noda di beberapa daerah di negeri ini pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan tersebut dilakukan serentak dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu dilakukan bermula pukul 10 malam Saturday hingga 3 pagi Ahad.

“Operasi berkenaan menyasarkan lapan premis di Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Seri Alam bagi membanteras aktiviti yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di samping memastikan premis-premis tersebut tidak digunakan bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

“Dalam serbuan ini polis menahan individu berusia 22 hingga 47 tahun yang terdiri daripada penjaga premis, tukang masak, pelayan dan pelanggan tanpa dokumen sah.

“Operasi tersebut menyasarkan pusat hiburan dikendalikan oleh warga asing bagi membanteras aktiviti yang melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati semua premis terbabit tidak berlesen selain menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah.

Menurut beliau, seramai 47 lelaki dan 36 wanita warga Myanmar ditahan dalam operasi berkenaan.

Ab Rahaman berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM5,088, peralatan muzik, komputer, telefon bimbit, buku akaun dan resit jualan.

“Operasi itu bagi membanteras premis hiburan haram yang didalangi warga asing kerana boleh mencetuskan gejala sosial dan ancaman keselamatan.

“Polis Johor tidak akan berkompromi dengan warga asing yang tinggal secara haram atau menyalahgunakan pas di negara ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat
Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98, Seksyen 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Johor Bahru) 2016 dan Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada rekod pergerakan masuk ke Malaysia serta Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan Seksyen 55B akta yang sama iaitu mengambil warga asing bekerja tanpa permit/pas yang sah.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast