PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disarankan memberi tumpuan kepada urusan dalaman parti termasuk Perhimpunan Agung Tahunan, bukannya sibuk membuat unjuran berhubung Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) atau Pilihan Raya Negeri (PRN)l.
Pengarah Komunikasi PKR, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, perkembangan politik dalaman Bersatu ketika ini kelihatan lebih rancak dan dinamik sehingga tercetus isu surat layang.
“Unjuran saya tentang politik dalaman Bersatu itu lebih sangat rancak dan dinamik.
“Saya cadangkan mereka fokus kenapa ada surat layang yang didedahkan dan politik seperti ini tidak baik,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bersatu yang menjangkakan PRU16 dan PRN di beberapa negeri akan diadakan pada tahun depan.
Isu dalaman Bersatu kembali menjadi perhatian selepas tular surat layang yang didakwa membabitkan kepimpinan tertinggi parti, termasuk menyentuh kedudukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Surat berkenaan difahamkan mengandungi kritikan pedas terhadap cara Hamzah menguruskan parti dan mencetuskan spekulasi mengenai pergeseran dalaman menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, minggu depan.
Sehubungan itu, Fahmi menegaskan, adalah lebih wajar untuk Bersatu meneliti dan memperkukuhkan perjalanan parti melalui perhimpunan tersebut berbanding terjebak dalam polemik yang tidak memberi manfaat.
“Jadi unjuran saya bagi Bersatu ialah fokus kepada Perhimpunan Agung Tahunan mereka,” katanya.
Katanya, tumpuan kepada perhimpunan berkenaan adalah lebih penting bagi menentukan hala tuju parti berbanding terikat dengan isu surat layang yang merugikan.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 akan diadakan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 6 dan 7 September ini dengan tumpuan khas diberikan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16. – MalaysiaGazette
















