BAYAN LEPAS – Guru lelaki yang mengelar leher isterinya dengan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, pada 27 Ogos lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Balik Pulau esok.
Suspek berusia 30 tahun itu sebelum ini direman enam hari bermula 30 Ogos lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette semalam melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga suspek bertindak mengelar isterinya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.
“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” kata Sazalee,” katanya.
Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu, seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda, di sini.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette
















