SUBANG JAYA – Sistem pembayaran bagi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tergendala pada 31 Ogos dan 1 September di pasaraya dan kedai runcit terpilih termasuk Mydin kini kembali pulih.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed berkata, tindakan orang ramai menyerbu pusat beli-belah untuk menebus bantuan RM100 secara serentak menyebabkan sistem SARA menjadi tidak stabil.
Bagaimanapun Ameer berkata, sistem SARA kembali pulih sepenuhnya hari ini apabila 10,000 pengusaha perniagaan runcit itu mematuhi arahan MyKasih yang menghadkan jumlah terminal bagi tujuan penebusan bantuan kerajaan itu.
“Syukur Alhamdulillah, MyKasih sudah bagi arahan kepada semua 10,000 kedai yang menggunakan sistem SARA untuk menghadkan terminal untuk menebus RM100 itu.
“Hypermarket macam Mydin, walaupun kita ada 10 atau 15 terminal, kita boleh guna lima terminal sahaja. Bagi cawangan kecil pula, kita buka dua terminal sahaja. Kita nampak hari ini semua pengusaha ikut arahan.
“Saya dimaklumkan dari 18,000 terminal di seluruh negara, hanya kira-kira 8,000 terminal sahaja yang dibenarkan beroperasi setakat jam 11 pagi tadi. Dengan langkah itu, sistem SARA kembali stabil, walaupun orang ramai berbaris panjang.
“Kita nampak setiap orang boleh habiskan masa antara tiga hingga lima minit untuk membuat bayaran dan menebus SARA,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di ibu pejabat Mydin, di sini, hari ini.

Ameer berkata, pihaknya akan melanjutkan operasi perniagaan Mydin sehingga 18 jam di semua 50 cawangannya di seluruh negara selama tiga hari, bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad ini, dari jam 7 pagi hingga 1 pagi.
“Insiatif ini untuk memberi pelanggan kita keselesaan membeli-belah tanpa bersesak dan berbaris panjang, sesiapa yang tak nak berbaris panjang, tak nak tunggu, datanglah pukul 10 malam.
“Ketika itu, barisan pun tak akan panjang sebab bila dah pukul 10 malam, banyak kedai sudah tutup. Insya-Allah MyKasih akan bagi kita buka lebih kaunter,” katanya.
Sementara itu, Ameer menasihatkan orang ramai yang layak menerima bantuan SARA agar memanfaatkan bantuan kerajaan itu, sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun menyumbang kembali kepada masyarakat.

Jelasnya, menerusi Program Kotak Sumbangan Asas Rahmah inisiatif Mydin yang ditawarkan bernilai RM100 setiap satu bagi membolehkan orang ramai kepada golongan yang memerlukan.
“Ada yang tak nak tunggu lama atau tak tahu nak beli apa. Mereka boleh beli Kotak SARA yang mengandungi beras, gula, tepung, kopi, bihun, semua dah ada. Semudah dengan pergi ke kaunter saja dan bagi kad pengenalan.
“Mereka boleh ambil Kotak SARA itu untuk diri sendiri atau nak menyumbang kepada orang lain sama ada nak beri kepada masjid, pembantu rumah, pemandu peribadi dan sesiapa sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, kata Ameer, orang ramai juga boleh menyumbang bantuan Kotak SARA itu kepada Mydin sendiri yang kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengagihan.
“Orang ramai boleh beli Kotak SARA itu dan bagikan kepada Mydin. Sebagai pemegang amanah, kita Mydin bekerjasama dengan JKM, malah semalam pun sudah ramai beli Kotak SARA.
“Contohnya golongan T20, okaylah bersyukur kita dapat RM100, daripada kita tak pakai, baik kita pakai dengan menyumbang kepada siapa yang memerlukan,” katanya.
Katanya, bantuan kerajaan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya, sekaligus dapat merancakkan aktiviti ekonomi di negara ini.
“Sebab niat kerajaan, bagi RM2 bilion pada 22 juta orang tu, untuk semua orang pakai. Sebab ia akan menolong ekonomi Malaysia, yang dipanggil kesan pengganda ke atas ekonomi akan menjadi sangat besar.
“Orang ramai bukan sahaja membeli-belah barang keperluan, bahkan mereka akan pergi kedai-kedai yang ada di sekitar pasaraya seperti Hypermarket Mydin. Ini satu cara untuk jalankan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette
















