Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan ketika sidang media di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai cadangan untuk menghadkan usia bagi Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli kepada bawah 18 tahun sahaja.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada mesyuarat tersebut.

Beliau menjelaskan, cadangan menghadkan usia bagi RUU Tribunal Anti-Buli itu masih di peringkat awal dan akan diteliti secara lebih mendalam.

“Azalina telah memaklumkan bahawa antara perkara yang dibangkitkan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam adalah keperluan menghadkan usia bagi tribunal anti-buli ini kepada 18 tahun,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Fahmi berkata, Azalina turut memaklumkan bahawa siri Mesyuarat Mengenai Usaha-usaha Memperkukuh Mekanisme Pencegahan Buli di Malaysia akan diteruskan minggu hadapan untuk meneliti aspek berkaitan pelaksanaan tribunal berkenaan.

Menurutnya, siri jelajah dan sesi libat urus juga akan dianjurkan bermula di Kuala Lumpur sebelum diperluas ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas awam mengenai penubuhan tribunal tersebut.

“Jelajah itu akan bermula di Kuala Lumpur sebelum digerakkan ke seluruh negeri dalam usaha mendapat lebih banyak maklum balas dan input daripada orang awam,” katanya.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli yang diadakan semalam dihadiri ketua setiausaha dan ketua pengarah pelbagai kementerian, turut bersetuju melantik Azalina sebagai pengerusi jawatankuasa itu bagi menyelaras tindakan semua agensi berkaitan.

Mesyuarat itu juga meneliti beberapa perkara utama termasuk memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada dengan memasukkan elemen pemulihan dan perlindungan kanak-kanak, selain cadangan menggubal RUU Tribunal Anti-Buli sebagai badan separa kehakiman untuk mengendalikan kes buli, khususnya melibatkan pelajar dan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast