Keladi agas merupakan sejenis rumpai daun lebar yang membiak pantas melalui biji benih dan stolon, malah mudah ditemui di kawasan sawah bertakung, tali air, kolam serta kawasan cetek berair.

KEPALA BATAS – Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) sedang melaksanakan pembangunan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keladi agas sejak 2022 yang menekankan prinsip pengurusan rumpai bersepadu bagi membantu pesawah mengawal tumbuhan tersebut.

Pegawai Penyelidik Mardi, Dr. Dilipkumar Masilamany berkata, SOP itu berupaya menurunkan infestasi keladi agas di sawah sehingga 70 hingga 100 peratus sekali gus mengurangkan risiko kerugian pesawah.

Menurutnya, keladi agas merupakan sejenis rumpai daun lebar yang membiak pantas melalui biji benih dan stolon, malah mudah ditemui di kawasan sawah bertakung, tali air, kolam serta kawasan cetek berair.

“Walaupun tumbuhan ini hadir pada ketumpatan rendah, ia tetap memberi kesan besar kepada ekonomi pesawah. Kehilangan hasil padi sebanyak lima peratus boleh berlaku hanya dengan empat pokok pada setiap meter persegi, dan angka itu sudah pun melebihi kos kawalan racun rumpai.

Dilipkumar

“Jika ketumpatan meningkat kepada 24 pokok semeter persegi, hasil padi boleh berkurangan sehingga 45 peratus. Justeru, kawalan awal serta pematuhan terhadap SOP yang dibangunkan Mardi amat penting untuk mengelakkan kerugian serius,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengumumkan varieti baharu padi MR 333 di Kampung Lahar Minyak baru-baru ini, telah meminta Mardi mempergiatkan kajian bagi mencari kaedah terbaik mengawal keladi agas supaya hasil padi negara tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Dilipkumar berkata, selaras dengan saranan itu, Mardi akan meneruskan kajian berkaitan keladi agas di bawah projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menghasilkan SOP pengurusan secara ‘site specific’ di kawasan tanaman yang menunjukkan kerintangan terhadap sesetengah racun rumpai.

“Mardi juga berharap dapat bekerjasama dengan agensi pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperluaskan penggunaan SOP ini dalam kalangan pesawah selain memantau keberkesanannya di lapangan.

“SOP tersebut bermula dengan proses penyediaan tanah melalui kaedah ‘stale seedbed’ iaitu membiarkan keladi agas tumbuh terlebih dahulu sebelum dimatikan menggunakan racun rumpai pra-tanam seperti glyphosate, glufosinate atau tiafenacil.

“Langkah seterusnya adalah membajak tanah bagi memusnahkan anak benih keladi agas yang baru bercambah. SOP ini turut menekankan kepentingan membadai tanah secara sekata serta memastikan paras air sawah dikekalkan melebihi lima sentimeter pada peringkat awal pertumbuhan padi untuk mengekang percambahan keladi agas,” katanya.

Tambah beliau, kawalan kimia juga digalakkan dengan penggunaan racun rumpai pra-cambah seperti pretilachlor sejurus selepas menyemai untuk menghalang percambahan awal keladi agas.

“Racun rumpai lepas-cambah seperti bispyribac-sodium, penoxsulam, 2,4-D, bentazon + MCPA, carfentrazon, ethoxysulfuron, bensulfuron, pyrazosulfuron, florpyrauxifen + cyhalofop dan lain-lain pula lebih berkesan apabila disembur pada peringkat tiga hingga lima helai daun keladi agas.

“Pesawah juga digesa menyemak rekod racun rumpai yang kurang berkesan atau telah menunjukkan kerintangan di sawah mereka. Pemilihan racun daripada kumpulan bahan aktif berbeza amat penting supaya kawalan rumpai dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast