KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin mengaku terperanjat apabila siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad menerima wang pengenalan RM2.8 juta daripada dua ejen unit amanah berkaitan pelaburan Felcra Berhad dalam Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, bagaimanapun beliau tidak mengambil apa-apa tindakan mahupun membuat laporan polis kerana kes ketika itu dalam siasatan SPRM.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada sesi pemeriksaan balas, beliau tidak bersetuju bahawa laporan polis sekurang-kurangnya dapat membersihkan namanya, atas alasan siasatan sedang dijalankan.

Ujar Bung Moktar, beliau juga tidak pasti sama ada isterinya melabur RM1 juta dalam unit amanah.
Pendakwa: Setuju dengan saya, Datuk Seri kononnya baru tahu, Datin Seri terima RM2.8 juta daripada Norhaili Abdul Hamid ketika siasatan SPRM? Setuju dengan saya ketika itu sudah pasti Datuk Seri marah dan sedih.
Bung Moktar: Sebenarnya tiada istilah konon, memang saya tidak tahu dan saya terperanjat dengan peristiwa yang berlaku.
Pendakwa: Walaupun Datuk Seri tahu Datin Seri Zizie menerima wang RM2.8 juta, Datuk Seri tidak buat apa-apa?
Bung Moktar: Setuju sebab kes sedang disiasat SPRM.
Pendakwa: Setuju dengan saya, Datin Seri Zizie tidak pernah memulangkan wang RM2.8 juta kepada Norhaili?
Bung Moktar: Tidak pasti.
Pendakwa: Setuju bahawa Datuk Seri tidak pernah mengarahkan Datin Seri memulangkan wang tersebut?
Bung Moktar: Setuju sebab kes masih dalam siasatan.
Pada sesi pemeriksaan balas, Ahli Parlimen Kinabatangan selanjutnya menyatakan, beliau sesekali tidak akan membenarkan ahli keluarga, saudara mara atau rakan terlibat dalam rasuah dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.
Ujar Bung Moktar, beliau tidak akan menggadaikan prinsip dan maruahnya serta mengelak untuk mencampur adukkan urusan peribadi dengan hal kerja.
Menurutnya, beliau tidak akan membiarkan dirinya dipengaruhi ahli keluarga dan saudara mara untuk bersekongkol dalam perbuatan rasuah yang melibatkan ketirisan dana awam.
Menurut pertuduhan, Bung Moktar, 66, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 47, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok. – MalaysiaGazette
















Kes sedang berjalan…jawapan yg biasa didengar..maknanya makan nasi sambal petai masih boleh diteruskan walaupun Petai curi.