JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap lima pekerja stor warga Indonesia selepas didapati bersalah memiliki 13,745.8 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, dua bulan lalu.
Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Muhammad Ali, 32; Marhaban, 31; Adnan, 28; Nasrullah, 34; dan Zulfan Fauzi, 31; mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan yang dihadapkan kepada mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa dengan niat bersama ada dalam milikan mereka barang kawalan iaitu LPG sebanyak 13,745.8 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini, pukul 7.05 malam, pada 28 Julai lalu, mereka didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan kerana masing-masing mendakwa hanya datang ke negara ini untuk bekerja dan ada yang baru tiba.
Selain itu, mereka memberitahu mahkamah bahawa mereka mempunyai tanggungan keluarga.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S Loganathan bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam bagi menjatuhkan hukuman yang berat terhadap semua tertuduh.
“Akta Kawalan Bekalan 1961 dikuatkuasakan bagi menjamin barang kawalan supaya pengguna tidak menghadapi kekurangan barang kawalan.
“Walaupun kes ini tidak membabitkan unsur keganasan, tetapi ia memberi kesan kepada kehidupan orang awam. Gas LPG adalah barang kawalan yang menerima subsidi kerajaan untuk meringankan kos hidup rakyat.
“Kesalahan ‘decanting’ (seleweng diesel) adalah aktiviti yang tidak sah. Ia juga menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh semua tertuduh tangkap iaitu 28 Julai lalu.
Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya hasil jualan dan barang sitaan dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.
Menurut fakta kes, susulan Op Gasak, Op Tiris dan Op Gempur yang dilakukan KPDN Putrajaya, pada 28 Julai lalu, pukul 6.40 petang, KPDN telah menyerbu sebuah premis tanpa nama selepas menjalankan pemerhatian di luar premis itu kira-kira 10 minit pada jarak 10 meter.
Ketika pemerhatian, pintu pagar premis tertutup dan selepas dibuka, pasukan serbuan mendapati lima lelaki warga Indonesia sedang melakukan pemindahan gas LPG sebelum menahan mereka.
Pada 1 Ogos lalu, lima pekerja stor warga Indonesia itu mengaku bersalah bagi pertuduhan asal memiliki 9,565.8 kilogram LPG tanpa lesen.
Pada 29 Julai lalu, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, pihaknya menahan lima lelaki dipercayai pekerja stor selepas disyaki melakukan aktiviti ‘decanting’.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menemui 1,357 tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram serta sebuah lori tanker yang dipercayai mengandungi LPG yang dianggarkan mencecah nilai sehingga RM280,000.
“Siasatan awal mendapati stor itu disyaki memindahkan gas dari tong berkapasiti 14 kilogram bersubsidi ke lori tanker untuk tujuan aktiviti penyelewengan atau ’decanting’,” katanya.- MalaysiaGazette















