Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban (tengah) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media mengenai sindiket pemalsuan dokumen warga Bangladesh di Kementerian Dalam Negeri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Dua lelaki warga Bangladesh yang menjadi dalang utama sindiket pemalsuan pasport bagi Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) ditahan menerusi operasi khas di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dalang tersebut diberkas di dua premis kediaman berbeza berdasarkan risikan pasukan operasi selama tiga minggu.

Menurut beliau, selain dua lelaki berkenaan, pihaknya turut menahan tiga lagi Bangladesh disyaki ahli sindiket.

“Kesemua yang ditahan berusia di antara 19 hingga 41 tahun,” katanya ketika sidang media di Setia Perkasa, hari ini.

Menurut beliau, tiga yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan, seorang memiliki Pas Pelajar.

Manakala, seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

Jelas Zakaria, Modus Operandi (MO) sindiket yang dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu itu adalah menawarkan khidmat pasport palsu pelbagai negara seperti Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia untuk warga asing melepasi pemeriksaan kesihatan FOMEMA.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM150 hingga RM250 bagi setiap naskah pasport palsu.

“Pasukan operasi telah menyita lapan naskah pasport Bangladesh, senaskah pasport India, tiga pasport Bangladesh disyaki palsu, empat pasport Indonesia disyaki palsu, peralatan yang digunakan untuk membuat pasport palsu terdiri daripada set komputer, set pencetak, muka surat pasport pelbagai negara iaitu Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India dan Indonesia yang telah siap dicetak, kulit pasport pelbagai negara terdiri daripada Bangladesh, Myanmar, Pakistan, India dan Indonesia, kertas pelekat lutsinar, dakwat pelbagai warna, alat pemotong kertas, penebuk lubang, benang, kertas saiz A5, pengetuk, 11 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM2,100.00.

“Turut disita sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang dipercayai digunakan oleh sindiket ini,” katanya lagi sambil mengesahkan kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959.

Sementara itu,  Zakaria percaya masih ada sindiket lain yang melqkukan pemalsuan berkenaan.

“Kita masih kenal pasti yang lainnya,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast