Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

Penglibatan negeri ini dalam forum yang berlangsung di Trang, Thailand yang bermula 2 September 2025 membuktikan Pahang diiktiraf di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, IMT-GT telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Forum ini membolehkan kita berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama dan merangka hala tuju masa depan,” katanya.

Wan Rosdy turut menekankan kepentingan tumpuan pada bidang utama seperti memperkukuh infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan serta kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

Selain itu beliau juga menekankan lima projek pembangunan utama di Pahang seperti pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (LEAPs) di 7 stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.

Selain itu, beliau berkongsi berkaitan Projek Taman Perindustrian Halal serantau di Gebeng, di sini dan pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu di Pahang serta perkembangan pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.

Dalam perkembangan sama Wan Rosdy mengambil kesempatan bagi memromosi ‘Visit Pahang’ bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 ketika forum berlansung.

“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Marilah kita terus memperbaharui komitmen kepada visi bersama dan menjayakan IMT-GT,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast