Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau masih belum menerima sebarang surat rayuan daripada mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) yang dipecat keahliannya daripada parti itu pada Januari 2023.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Tertutup Belanjawan 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama pihak berkepentingan di Dewan Seri Lestari hari ini, Zahid ringkas menjawab: “Belum, saya belum terima lagi.”

Sebelum ini, sumber memaklumkan Khairy telah menghantar surat rayuan berkenaan melalui salah seorang pegawainya baru-baru ini.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas Menteri Kesihatan dipecat daripada UMNO pada awal 2023 kerana didakwa melanggar disiplin parti.

Pada 6 Julai lalu, beliau menyatakan kesediaannya mempertimbangkan tawaran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh untuk membantu memudahkannya kembali ke pangkuan parti.

Dr Akmal sebelum ini dilaporkan sedia menjadi jambatan bagi membawa semula beberapa pemimpin yang digantung atau dipecat, termasuk Khairy, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast