KUALA LUMPUR – Elaun tugas atas panggilan (on-call) doktor perlu dinaikkan, kata Ahli Dewan Negara, Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam
Beliau berkata, kenaikan itu boleh ditampung dengan penjimatan dalaman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, ramai doktor muda kini berdepan tekanan kewangan sehingga terpaksa bergantung kepada skim Buy Now, Pay Later (BNPL) untuk menampung keperluan asas seperti makanan dan utiliti.
“Fenomena BNPL ini bukan sekadar isu ekonomi, ia juga cerminan beban hidup doktor muda kita. Mereka bekerja sehingga 36 jam tanpa rehat, namun gaji rendah, elaun tidak setimpal dan bayaran on-call sering tertangguh.
“Tidak wajar mereka dipaksa mencari jalan pintas kewangan yang berisiko hanya untuk bertahan hidup,” katanya pada persidangan Dewan negara, hari ini.
Lingeshwaran berkata, cadangan kenaikan elaun on-call sebanyak RM55 hingga RM65 untuk semua doktor hanya memerlukan antara RM75 juta hingga RM80 juta setahun iaitu kira-kira 2 peratus daripada bajet tahunan KKM.
“Ini bukan beban besar kepada kewangan negara. Ia pelaburan kecil yang mampu memberikan impak besar kepada moral, motivasi dan kesejahteraan doktor muda kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















