KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat (JKPP) mengesahkan Ketua Penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari antara 30 calon yang akan merebut kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
Pengerusi JKPP), Wan Rohimi Wan Daud berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu bakal berdepan saingan antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim serta bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa antara lapan individu yang menolak pencalonan bagi jawatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Rohimi menambah, Ahmad Fadhli turut memenang jawatan Pengerusi Tetap Pemuda Pas tanpa bertanding.
Ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri, Jerteh Riduan Md Noor itu menolak pencalonan berkenaan.
Jelas beliau, pengesahan pencalonan dibuat selepas semua jawapan tawaran diterima dan diteliti jawatankuasa berkenaan dalam mesyuarat yang berlangsung pada Selasa lalu.
Muktamar PAS dijadualkan pada 11 hingga 16 September bermula dengan persidangan sayap parti. – MalaysiaGazette
















