Gambar ihsan MCMC

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan tiga lagi individu berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di laman Facebook dan TikTok mereka berkaitan insiden seorang wanita menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.

Hantaran tersebut yang mendakwa kononnya tindakan itu dilakukan oleh seorang wanita berbangsa Cina adalah tidak benar selain berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Rakaman keterangan ke atas ketiga-tiga individu berkenaan telah dijalankan di Balai Polis Kuala Nerang, Kedah; Balai Polis Beserah, Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang pada 3 September lalu.

Sebanyak tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM dan satu kad memori telah disita bagi tujuan analisis forensik digital, kata satu kenyataan hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast