SHAH ALAM – Isu pemberian tanah untuk sekolah di Selangor serta pengiktirafan Sijil Pemeriksaan Bersama (UEC) yang tular di media sosial telah diputarbelit dengan tujuan menimbulkan prasangka kaum.
Menurut Pejabat Menteri Besar Selangor, kunjungan hormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, disalah tafsir bahawa Kerajaan Negeri menggadaikan tanah untuk pembinaan sekolah Cina dan membuat keputusan baharu mengiktiraf sijil UEC.
“Pertama, pemberian tanah untuk sekolah baharu bukan perkara baharu dan tidak hanya melibatkan Sekolah Cina. Ia sudah diputuskan pada 7 Julai 2023 selepas permohonan Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa, Klang, yang menghadapi masalah kepadatan pelajar.
“Pada masa sama, tanah turut diluluskan kepada Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak atas keperluan yang sama,” katanya menerusi kenyataan.
Mengenai isu UEC, Pejabat Menteri Besar menyatakan pengiktirafan itu bukan keputusan baharu, sebaliknya sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sejak 21 Oktober 2015.
“Bantuan kepada sekolah di Selangor juga bukan perkara baru. Sejak 2009, peruntukan telah diagihkan kepada pelbagai jenis sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Persendirian Cina, serta Sekolah Kebangsaan dan Menengah Kebangsaan.
“Jumlah keseluruhan bantuan sehingga kini mencecah RM244.124 juta. Pendidikan harus dilihat sebagai usaha membina masa depan negeri dan negara, bukannya dijadikan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















